Kekalahan dalam pertaruhan lama Stephen Hawking

Pada Julai 2004, Hawking telah ditonjolkan dalam media untuk mengemukakan teori barunya tentang lohong hitam yang bertentangan dengan kepercayaannya selama ini terhadap sifat-sifat lohong hitam. Oleh itu, beliau kalah dalam pertaruhannya dengan Kip Thorne dan John Preskill dari Caltech. Secara klasik, kenyataan bahawa maklumat yang melintasi ufuk peristiwa sesuatu lohong hitam akan hilang daripada alam semesta kita dapat ditunjukkan, dan menurut logik kenyataan itu, semua lohong hitam adalah serupa sahaja, selain daripada jisim, cas elektrik dan halaju sudutnya ("teorem tiada rambut") ("no hair theorem"). Masalah terhadap teorem ini adalah bahawa lohong hitam akan memancarkan sinaran yang sama, tanpa mengira apa yang terjadi di dalamnya. Oleh itu, jika suatu keadaan kuantum yang tulen dimasukkan ke dalam lohong hitam, suatu keadaan campuran yang "biasa" akan dihasilkan. Dapatan ini adalah bertentangan dengan peraturan-peraturan mekanik kuantum dan dikenali sebagai paradoks maklumat lohong hitam. Untuk perincian, sila lihat: Pertaruhan Thorne Hawking Preskill

Satu lagi pertaruhan yang berkenaan dengan kewujudan lohong hitam diperihalkan oleh Hawking sebagai sejenis polisi insurans. Petikan daripada bukunya, "Sejarah Ringkas Masa", berkata: "Ini merupakan sejenis "polisi insurans untukku. Aku telah membuat banyak kerja tentang lohong hitam, dan kesemua ini akan membazir jika lohong hitam ternyata tidak berwujud. Tetapi dalam kes itu, aku dapat menyenangkan hati kerana memenangi pertaruhan yang akan memberikanku empat tahun majalah Private Eye percuma. Jika lohong hitam tidak wujud, Kip (Kip Thorne) akan memenangi setahun Penthouse. Sewaktu kami membuat pertaruhan itu pada tahun 1975, kami sudah pasti sebanyak 80 peratus bahawa Cygnus ialah lohong hitam. Kini, aku boleh mengatakan bahawa kami pasti hampir 95 peratus, tetapi pertaruhan itu masih belum diselesaikan." (1988)

Hawking telah awal-awal mengagak bahawa ketunggalan di pusat lohong hitam boleh membentuk jambatan ke "alam semesta bayi" dan maklumat-maklumat terhilang boleh ditujukan ke sana; teori-teori sebegini amat popular dalam fiksyen sains. Tetapi menurut idea baru Hawking yang dipersembahkan dalam "Persidangan Antarabangsa Ke-17 untuk Kerelatifan Am dan Kegravitian" pada 21 Julai 2004 di Dublin, Ireland, lohong-lohong hitam pada akhirnya akan memindahkan maklumat yang diterima dalam bentuk biji butir yang tidak tentu:

Kamiran laluan Euclid yang meliputi semua metrik topologi yang remeh boleh dibuat melalui penghirisan masa ("time slicing") dan oleh itu, kamiran laluan itu adalah unitari jika diteruskan secara analisis sehingga taburan kebarangkalian Lorentz. Dari segi yang lain, kamiran laluan yang meliputi semua metrik topologi yang bukan remeh adalah bergantung secara asimptot kepada keadaan asalnya. Oleh itu, kamiran laluan keseluruhan adalah unitari dan maklumat tidak akan terhilang dalam pembentukan dan penyejatan lohong-lohong hitam. Cara maklumat dikeluarkan kelihatan seolah-olah ufuk peristiwa yang benar tidak pernah dibentukkan, cuma ufuk yang ketara. — Ringkasan ucapan Hawking dalam GR Laman web Persidangan

Selepas membuat kesimpulan bahawa maklumat diabadikan, Hawking mengaku kalah terhadap pertaruhannya dengan Preskill, dan kemudian menghadiahkan Preskill dengan "Besbol Lengkap, Ensiklopedia Besbol yang Muktamad" ("Total Baseball, The Ultimate Baseball Encyclopedia"), sebuah ensiklopedia yang memudahkan pencarian maklumat. Bagaimanapun, Thorne masih tidak yakin dengan bukti Hawking dan tidak hendak menyumbang untuk hadiah itu.